Sunday, November 12, 2017

Hari Paling Tak Beruntung!

Assalamulaikum.

Sekarang, isu tengah panas pasai musyrif (baca: ikhwah yang membantu mengawasi akhawat yang nak keluar pi mana-mana pada waktu malam). Aku rasa isu nih tak kan pernah habis sampailah kiamat atau sampailah hilang anak Melayu di tanah Mesir. Isunya masih berlegar dengan perkara-perkara biasa yakni akhawat tak mau guna musyrif dan ikhwah yang malas nak jadi musyrif. Cumanya yang jadi panas sebab kes banyak dah berlaku kat area Sabiek, akhawat still tak guna musyrif dan ikhwah yang mulut cam longkang!

Kelas yang aku pi semuanya di kawasan Hayyu Sabiek, Kaherah (naik bas dalam 30 minit dari Buuth, Kaherah) jadi aku hadkan hari Jumaat dan Sabtu aku di Sabiek manakala hari-hari lain ditumpukan untuk pelajaran kuliah. Aku pilih kelas talaqi berdasarkan kelas yang aku boleh bawak dan bukan berkaitan dengan bidang Syariah sebab aku kan amik kos Syariah Islamiyah di universiti, jadi untuk talaqi, aku lebih tumpu pada kelas Tauhid dan jugak kelas Bahasa Arab in sha Allah.

Aku ada kawan-kawan yang sangat aktif dalam belajar. Aku dapat nyatakan antara mereka antara asbab aku yang membantu aku buat dengan baik tahun lepas alhamdulillah. Tapi, kawan-kawan aku nih semua bukan orang yang suka guna musyrif. Alasan utama;

1) Payah nak cari ikhwah yang boleh tolong jadi musyrif. Ada memang ada tapi bukan selalu ada.
2) Malaih nak tunggu ikhwah yang lambat. Kita semua ada masa masing-masing, jadi terkadang tu kena kejar masa tapi sebab musyrif jadi lambat.
3) Takut menyusahkan ikhwah. Alasan nih mungkin nampak lapuk, tapi ini apa yang sering aku ngan Cik Qis rasa. Rasa bersalah nak amik masa orang len.
4) Akhawat keluar ramai-ramai. Sebab ramai rasa cam selamat la jugak.

Tapi kami tak dak masalah pun nak guna cuma kadang-kadang sebab alasan cam atas nih πŸ‘† buatkan akhawat malas nak cari musyrif. Sabiek sekarang tengah tak selamat dengan banyak kes-kes. Kes gangguan seksual, kes pecah rumah, kena rompak dan macam-macam lain. Kes seperti ini sentiasa berlaku sepanjang tahun sampai jadi benda biasa pulak. Aku tak tau apa kedutaan buat kat sini sampai tak boleh nak kekang masalah macam nih.

Kelmarin ada ikhwah yang komen pedas-pedas pasai isu tak guna musyrif. Semua pakat panas πŸ˜‚πŸ˜‚ Ya Allah komen tu melebih-lebih sampai menghiris hati. Tahulah akhawat salah sebab tak guna musyrif tapi cuba tengok disisi ikhwah sendiri jugak. Jangan suka untuk menunding jari ke arah orang len.

Aku rasa kelmarin hari paling tak beruntung hahaha. Balik dari Darassah dah Maqhrib, tak dak musyrif. Pi makan sat sebab senior aku dah kena sakit perut sebab tak makan, still tak dak musyrif. Balik rumah, pun tak dak musyrif. Pi kelas malam, tak dak musyrif dan balik pukul 12 malam pun tak dak musyrif. Bunyi cam alasan kan, tapi hakikatnya aku dah try cari musyrif cumanya tu laa aku kata, masa tak dapat nak menyamai.

Dahlaa jumpa ngan ramai ikhwah yang dikenali, pastu tak pakai purdah, memang orang kenal laa muka-muka keluar malam tak pakai musyrif. Masa tengah makan tu aku whatsup seorang ustaz untuk jadi musyif, tapi sebab dia lambat kami balik dulu. Yang lawak masa nak pi kelas tu, terserempak ngan dia kat tengah jalan tak guna musyrif haha. Memang kena tegur laa via Whatsup. Terima kasih ust sebab tegur, memang apa kami buat salah pun.

Balik pukul 12 malam sebab kelas habis masa tu, dah tak guna musyrif, pastu balik pagar plak berkunci. Berdiri lama laa tunggu bawab (baca: penjaga bangunan) bukak pintu tu. Pastu ada ustaz-ustaz tengah jalan, nampak kami depan pagar pastu dok jerit; "Hoi ustazah! Hoi ustazah!!" Maaf ustaz memang tak lah nak balas sebab semua tengah tumpu pagar dan ustaz jauh dari kami. Tak kan kami nak jerit balas, sangatlah tak sopan.

Salah memang terletak pada kami. Kalau nal review balik, aku sebagai perempuan rasa yang akhawat lebih bersalah dalam hal nih berbanding ikhwah. Aku sendiri mengaku benda tu. Tapi maaf, kekadang bila dah terdesak memang tak guna musyrif huhuhu. Aku cuma harap ikhwah bawak bertenang dan tolonglah jangan bawak berkeluar perkataan-perkataan tak elok.

p/s: Tak dak sapa suka kena raba ustaz oiii!


Thursday, November 2, 2017

Perkahwinan?

Idea perkahwinan adalah satu perkara yang bercampur aduk dalam fikiran aku. Aku sedia maklum yang berkahwin adalah satu perkara yang baik dan mengikut sunnah dan ia adalah satu perkara yang semua orang buat. Aku bukan ingin menolak apa-apa yang diturunkan oleh Allah atau membangkang fitrah. Apa yang aku tulis sekadar kekeliruan aku sendiri dan aku harap aku boleh ubah mengikut apa yang syariat tetapkan. Aku sekarang dalam fasa kekeliruan.

Kadang-kadang aku bertindak membangkang idea perkahwinan itu dengan sekerasnya dalam fikiran aku. Aku takut dan aku tak yakin dengan namanya penyatuan antara seorang lelaki dan perempuan dan idea-idea liberalisme akan terngiang-ngiang dalam fikiran.

Tapi, kadang kala jugak bila aku tengok mana-mana pasangan yang bahagia di sosial media, aku malahan berfikir "Alangkah bahagia jugak kalau aku boleh dapat suami yang macam tu!"

Jadi kesimpulannya, soal perkahwinan adalah satu perkara yang memeningkan pada aku dan ia berubah-ubah. Aku takut dan rasa trauma tanpa sebab sedangkan orang sekeliling aku kebanyakkannya memiliki dan menunjukkan contoh yang baik untuk perkahwinan. Seperti mak dan ayah aku sendiri. Mak dan abah sangat bahagia sepanjang hampir 30 tahun bersama. Wow! 30 tahun adalah satu jangka masa yang sederhana panjang.

Walaupun aku masih tak leh brain how ppl can be together for the rest of their life but its a shout out for many more ppl that have make happy life over years with their mates.

Mak dan abah tak pernah bergaduh depan kami. Sepanjang depa dua berkahwin, sekali pun aku tak pernah nampak mak ngan abah bergaduh besar, sekadar marah-marah biasa tu adalah. Bayangkan 30 tahun kau hidup, tapi kau berjaya sembunyikan segala masalah perkahwinan kau depan anak-anak. Its rather amazing to me.

Dulu, aku pernah sekali risau sangat dengan ekonomi yang tenat, yang pada aku pasti akan memberi kesan pada institusi kekeluargaan kami. Malahan banyak kes penceraian akibat daripada masalah kewangan. Jadi masa tu, aku amik keputusan untuk tanya mak aku; "Mak, kita ada masalah kewangan dak?"

Mak aku balas, "Eh mana ada, biasa ja"

Entahlah, tapi aku rasa time tu kami sebenarnya ada sedikit masalah kewangan sebab abah rajin sebut berjimat dan aku rasa tekanan kewangan tu hahaha. πŸ˜‚πŸ˜‚

Mak dan abah tak pernah bangkitkan masalah apa-apa pada kami. Malahan abah rajin cerita dia sentiasa ada duit untuk tanggung kami sekeluarga, maka jangan risau. Teruskan belajar dan jangan pernah risau pasal duit. Itu apa yang disebut sebagai ibu bapa.

Ia adalah contoh kehidupan suami isteri yang baik.


Tapi, aku masih tetap dengan pemikiran liberal aku dalam diam. Aku masih merasakan bahawa, adalah lebih baik hidup sepagai pasangan tanpa berkahwin dari hidup berkahwin, seperti yang banyak berlaku di Barat. Ia nampak mudah dan lebih praktikal berbanding terikat dengan orang lain. Couple with a guy, love and care everyday, cuddle every second and make love. Bila rasa tak serasi, berpisahlah. Then, cari someone else. Macam mana orang bercouple sekarang di Barat, seperti itulah aku rasa idea tu okay. (Terukkan idea nih? Sangat teruk dan sangat menyalahi agama.)

Sebab aku selalu berfikir,
Bagaimana kalau selepas kahwin kita hidup tak bahagia? Bukankan sangat payah untuk bercerai? Perempuan nih kalau boleh dia nak elak sangat-sangat dengan status janda sebab di mata masyarakat janda nih adalah sesuatu yang memalukan.

Aku sebelum nih tak boleh nak tulis dan cerita kat sapa-sapa pasai semua nih. Aku cuma banyak bercakap dalam minda sahaja. Kalau aku nak tulis banyak tentang nih, ia akan bertentangan dengan agama dan aku rasa sangat berdosa. Macam mana seorang pelajar agama macam aku boleh terlanjur berfikir seteruk ini? Aku sepatutnya tak boleh berfikir macam nih sama sekali. Satu ja aku nak highlightkan, aku tak menolak perkahwinan. Aku cuma menolaknya untuk diletakkan pada aku sebab aku rasa perkahwinan tak releven untuk aku. Tu ja. Aku harap aku boleh ubah segala presepsi dan pemikiran yang salah ini.

p/s: Hakikatnya nak tulis pendek, tapi jadi panjang dan berbelit-belit. Tapi, aku rasa tak dak sapa baca blog aku nih, so its okay hahaha.

Tuesday, October 3, 2017

Minhah Baitul Zakat Kuwait ( Biasiswa )

Assalamualaikum.

Jadi hari nih, in sha Allah aku akan cerita serba sedikit yang aku tahu tentang cara memohon Minhah Baitul Zakat Kuwait (BeZet) bermula dari awai; apa yang perlu dipohon dari kuliah sehinggalah selesai in sha Allah.

Seperti yang aku cerita dalam post sebelum nih, minggu lepas dan awal minggu nih memang aku sibuk dengan urusan kuliah dan jugak minhah Kuwait ini. Untuk tahun 2017, pihak BeZet Kuwait dengan baik hati telah membuka balik permohonan untuk kali kedua sebab aku difahamkan yang tahun lepas BeZet Kuwait hanya buka sekali sahaja permohonan jadi, siapa yang tak sempat tu nasib dia lah. Alhamdulillah tahun nih depa bukak 2 kali.

Pertama sekali syarat minimum untuk memohon Minhah Kuwait adalah Jayyid dan mempunyai visa. Untuk yang belum memohon tasdiq minhah, hampa perlu memohon tasdiq minhah dari kuliah dengan bayaran sebanyak 115le. Pi kat Syu'un Tolabah dan ablah (baca: kerani) tahun masing-masing, bagi nama dan jugak kertas qorod (baca: tujuan) dan duit sebanyak 115le. Kemudian tunggu selepas 2 hari (kalau ramai orang yang buat urusan, mungkin perlu tunggu lebih lama untuk dapatkan tasdiq minhah, bergantung pada masa yang ablah cakap) untuk dapatkan tasdiq minhah tu. Selain itu, pelajar jugak perlu memohon kashfu natijah.

Macam aku, memandangkan aku perlu mendaftarkan diri untuk Tahun 2 jadi aku buat semua sekali terus. Buat kashfu natijah, tasdiq minhah, kerneh dan dafa rusum dengan bayaran sebanyak 255le. Aku buat hari Selasa dan boleh amik hari Ahad minggu depan tu.

1) Taqdimul Awraq

Hampa perlu sediakan:

-Gambar berukuran passport 6 keping
-Gambar kemasyarakatan 2 keping
-Tasdiq minhah asal
-Tasdiq minhah potostat 2 helai
-Kasyfu natijah asal
-Salinan passport depan 2 helai
-Salinan visa semasa 2 helai

Jadi, bila hampa dah ada semua yang diatas πŸ‘†πŸ‘†, hampa boleh pi ke Maktab BeZet, caranya:

Dari Sabiek hampa perlu amik tremko habaq kat dia Zahra' (3le) , kemudian dari Mahattoh Zahra' tu hampa naik pulak tremko ke Maadiy (4le) dan cakap kat dia Carefour. Kemudian seberang turun tangga pi kearah Carefour, Maktab BeZet ada kat sebelah bangunan tu ja.

Dari Darassah hampa perlu naik tremko ke Sayidah Aishah (1.5le) kemudian dari Sayyidah Aisyah naik bas biru (2.5le) habaq kat dia Carefour. Nanti bila naik bas tu cakna sikit, Maktab BeZet ada kat sebelah kanan.

Ok bila dah sampai masuk dalam bangunan Maktab BeZet tu, hantar segala yang kat atas tadi tu kat Ustaz Wail. Nanti Ustaz Wail akan bagi sekeping borang untuk diisi. Kemudian bila hantar balik semua tu, Ustaz Wail akan bagi sehelai kertas (Fathu Hisab) untuk kita buka akaun bank di Bank Faisol.

Untuk pulang:
Naik tremko untuk ke Zahra' (2.5le) kemudian amik tremko lagi ke arah Asyir atau Sabiek (2-3le)

Atau naik Uber atau Careem ke Sabiek dengan bayaran sebanyak 30-40le. Kalau hampa pi ramai, better naik Uber atau Careem sebab lebih mudah dan cepat sampai.

2) Buka Akaun Bank Faisol

Fathu Hisab di Bank Faisol ada banyak cabangnya. Salah satunya adalah Husien, Abbas Aqad, Sayyidah Zainab, Ghamrah, Doqy, Mansurah dll.

Untuk bank nih, aku cadangkan untuk buat di Husien. Alhamdulillah pegawai bank kat Husien tu tersangatlah baik dan mudah untuk berkomunikasi. Kalau yang kat Abbas Aqad tu dah tak boleh buat sebab depa kata kuota pelajar untuk bukak akaun bank di situ dah habis.

Syarat untuk membuat rekening adalah :
-minima umur 21 tahun
-memiliki visa
-wang awal sebanyak 1100le
-gambar passport sekeping
-Tasdiq Minhah (dari BeZet)
-passport asal
-bukti tinggal di Mesir (surat igar-sewa / surat keterangan dari pegawai / resit sewa)

Tambahan : Jika ada masalah kat umur, misalnya 19 tahun, maka caranya adalah dengan minta izin kepada pihak BeZet supaya duit itu diberikan secara tunai sahaja. Jadi setiap 4 bulan, perlu ke Maktab BeZet untuk ambil duit secara tunai.

Ok caranya, bila dah sampai tu hampa bagi ja kat pegawai bank tu; passport asal, bukti kediaman dan juga surat dari Maktab BeZet.

Nanti pegawai tu akan tengok dan kalau dia yakin dengan surat igar tu (dia mungkin akan tanya sikit-sikit, jangan takut in sha Allah pegawai bank kat Husien tu baik), dia akan bagi 4 jenis borang untuk diisi. Jangan risau isi ja borang tu, dan bila hampa nak hantar kat dia, nanti dia akan review dan akan tolong kalau ada yang hampa salah isi ka tak tau nak isi ka apa ka.

Lepas itu, dia akan minta tunggu sat supaya dia boleh uruskan borang-borang semua dan akan panggil nama hampa len. Selepas tu, dia akan bagi kad kecil dan suruh hampa bayar 1100le kat kaunter bayaran. Dan lepas tu hampa akan diberi resit bentuk A4 sebagai bukti pembayaran untuk bukak akaun bank Faisol dan selesai bab bank.

Ohh lupa plak, nanti selepas 10 hari, hampa perlu mai pulak untuk amik kad ATM.

3) Hantar Resit Bank

Hampa perlu ke Maktab BeZet semula untuk hantar resit bank tu tapi yang potostat punya. Nanti potostat resit bank tu sekali dengan kad kecil yang pihak bank bagi, buat dalam satu kertas sahaja.

Selepas tu hampa perlu menunggu perkhabaran dari pihak Maktab BeZet.

______________

Aku dah selesai sampai ke tahap itu sahaja dan sekarang masih menunggu perkhabaran dari Ustaz Wail atau Maktab BeZet. In sha Allah posting ini akan bersambung selepas aku betul dah dapat minhah dari Kuwait nih in sha Allah.

p/s: Aku nak ucapkan terima kasih sangat-sangat kat seorang Ustaz Thailand yang dah tolong isi borang bank dan bagitau jalan ke Maktab BeZet. Dia ada tolong isi borang dari awai sebab Cik Abel hilang dibantu pegawai bank, tinggal aku sorang-sorang isi borang bahasa arab hahaha. Ustaz tu mai gitau sekali lagi pasai jalan tu kat aku sebab takut aku tak paham hahaha. Thanks Ustaz!

Semoga tulisan ini sedikit sebanyak dapat membantu dan Allah selalu mempermudah urusan kita semua. Ameen.

Friday, September 29, 2017

Photo Exhibion in Cairo

Assalamualaikum.

Aku baru tiba di Egypt minggu nih, hari Ahad yang lepas. Keluar ja dari Terminal 2 tu, terus aku disapa oleh angin winter hahaha. Nampaknya musim sejuk bakal berkunjung tiba. Tak sia-sia aku balik sebab nak elak musim panas Mesir, nih dah balik Mesir, dah nak masuk musim sejuk dengan kata nama lain cepat masa berlalu. Pejam celik, pejam celik dah masuk sem baru dan tahun baru.

Selamat datang ke Tahun 2 Syariah!!!!!!!
Chayok semua! Fighting!!

Minggu nih aku sibuk dengan urusan minhah (baca:biasiswa) cadangnya nak minta minhah Kuwait. Kawan-kawan banyak yang encourage suruh try minta memandangkan aku dapat memenuhi pangkat Jayyid, alhamdulillah moga dipermudahkan. Aku sampai Mesir maghrib Ahad, dan pagi Isnin tu aku dah pi kelas hahaha. Nampak semangat sangat meowww dan moga tak pancit dipertengahan sudah haha. Malangnya sebab terlalu ramai hari Isnin tu, aku tak berjaya nak buat urusan kuliah sekaligus minhah. Jadi aku sambung buat Selasa, dan alhamdulillah selesai. Betapa mudahnya berurusan dengan Ablah Tahun 2!

Jadi ifadah najah dan minhah akan keluar Ahad nih sama tarikh dengan bukanya batch 2 Minhah Kuwait. Aku kena berkejaran Ahad nih dan moga dipermudahkan, ameeen. Maaf, aku bukan nak cerita bab minhah Kuwait, nanti kalau dapat boleh aku ceritakan based on experience, in sha Allah.

Ok, semalam aku diajak sepupu dentist aku, Mira untuk teman dia pi Photo Exhibition by David Degner kat Darassah. Aku terus setuju ja sebab malam tu tak buat apa pun dan dia pun berjanji nak hantar aku balik rumah. Jadi boleh la aku teman selain aku sendiri rasa curious nak tau lagu mana laa qupe pameran foto di Mesir. Selalu kalau Mesir nih banyak indah khabar dari rupa... oppsss haha. Mungkin bukan indah khabar dari rupa tapi expection manusia terlalu tinggi kot lepas tu bila dah jumpa tengok-tengok tak sama pun ngan expectation hahaha.

 First time mai pameran foto


Pada mulanya aku ingat aku akan pi ngan Mira dan kawannya perempuan tetapi rupanya kawan-kawan Mira tu Ustaz-ustaz Indonesia yang sangat mahir pasai sejarah dan suka travel. Jadi sepanjang jalan ke tempat pameran tu aku banyak dengar dia bercerita tentang sejarah-sejarah makam disepanjang jalan selain dia banyak berkongsi cerita dengan Mira.

 Yang hujung tu nama Salma, orang Arab Pakistan yang dah tinggal di Mesir selama 4 tahun.


Sebenarnya nih kali pertama aku ke pameran foto dan ia merupakan pengalaman yang menrik sebab ia agak sama dengan apa selalu aku nampak kat tv, jadi bagi aku memang menarik. Pi pameran foto nih buat aku lebih memahami bahawa setiap gambar tetap akan menyimpan memori dan boleh membawa kepada banyak pengertian dari kisah disebalik gambar tu. Aku takmau cerita semua pasai gambar-gambar yang David Degner tangkap cumanya ada certain gambar yang bagi aku memang menarik dan boleh aku nak kongsi ceritanya kat sini. Tajuk pameran foto tersebut adalah Modern Miracles.

Ok sedikit info tentang David Degner nih, dia adalah seorang jurugambar dari Georgia, AS dan dah lama dah dia kat Mesir sejak 2010 dan dia berkerja secara meluas di seluruh Timur Tengah nih. Gambar-gambar yang dia amik memang sangat terkenal dan dah banyak diterbitkan di kedai-kedai. Kira dia memang dah femes tapi aku ja yang tak kenai hahaha. Semasa dia mengembara di seluruh Mesir, Degner nih rajin dengar masyarakat Mesir menyebut tentang mukjizat, keajaiban yang datang dalam pelbagai bentuk dan ada sesetengahnya disebut secara rahsia. Jadi, dari cerita-cerita yang dia dengar tu telah membawa dia hampir ke seluruh Mesir untuk mencari dan meneliti setiap cerita dan juga untuk dia dengar pengalaman individu yang terlibat dan percaya dengan keajaiban dan memahami tujuan setiap keajaiban yang dibicarakan. Ha lebih kurang begitulah umumnya setiap gambar yang ditayangkan.

Berdasarkan foto-foto yang dia tayangkan, aku percaya David Degner tak meletakkan agama sebagai satu sandaran melainkan dia meletakkan keajaiban (selepas ini disebut sebagai miracle) itu sendiri sebagai sandaran utama tanpa mengira agama dan kepercayaan yang pelbagai. Ia ibarat kepercayaan yang pernah mahupun sedang berlegar dalam masyarakat kita lalu menjadi adat contohnya adat memberi telur dalam majlis perkahwinan sebagai tanda kesuburan dalam perkahwinan itu. Ha lebih kurang camtulah.

Jadi nih gambar yang pertama aku nak kongsikan:

 Tajuk: Trees that Bleeds

Gambar ni merujuk kepada Syeikh Nasr al-Deen tengah tuang sejenis air yang lebih dipanggil sebagai darah dari pokok (baca: Blood from a tree) atas seorang budak perempuan kat Dishna. Syeikh tu menyatakan bahawa air merah yang keluar dari pokok tu hanya akan keluar pada hari Jumaat dan Isnin sahaja. Oleh sebab itu, ramailah manusia yang akan mai bila hari Jumaat dengan kain untuk depa amik cecair merah dari pokok tersebut yang dikatakan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit.


Tajuk: Caims on Humaithera

Selepas dari memanjat bukit kat belakang tu, orang akan susun batu-batu (macam dalam gambar) dan memohon doa meminta pada Tuhan agar dipermudahkan perjalanan ke Mekah atau meminta untuk dapat membina rumah. Abu al-Hasan  ash-Shadili pada satu masa telah menjangkakan kematiannya dan telah meninggal dunia di Humaithera nih semasa dalam perjalanannya ke Mekah. Oleh sebab tu, setiap tahun ada masyarakat yang akan menyambut maulidnya di sini.

Gambar atas nih ada kaitan dengan sekeping gambar lagi yang bertajuk Home (maaf, gambar tak sempat amik) Diceritakan pada Maulid Abu al-Hasan itu, masyarakat akan memanjat Bukit Humaithera tu dan bila turun depa akan susun batu-batu itu dan depa jugak janji akan kembali bila hajat mereka dipenuhi. Jadi selepas 6 bulan tu, David Degner telah melawat Rifai' Tariqa di Dishna dan disitu dia telah berjumpa dengan seorang lelaki yang turut menghadiri maulid tersebut 6 bulan lepas. Menariknya, lelaki yang ketika itu meminta kepada Tuhan supaya dapat membina rumah rupanya tengah dalam pmbikinan rumahnya sendiri!

Untuk info yang lebih lanjut boleh layari: www.daviddegner.com/miracles

Jadi itulah serba sedikit yang boleh aku cerita pasai pameran foto tu. Nak kata aku minat sangat dalam fotografi tu taklah tapi ini adalah pengalaman baru yang aku boleh kongsikan. Banyak lagi gambar yang menarik; ada juga gambar di Masjid Sultan Hanafi dan juga gambar di gereja kesan dari pengeboman di Tanta. Pameran itu masih lagi berjalan sehingga 10 Oktober ini, jadi boleh lah pakat melawat.

Kesimpulannya, mana-mana dalam masyarakat kita tak terlepas dari rasa kepercayaan walaupun kadang-kadang kepercayaan tu nampak mengarut sangat-sangat. Sesungguhnya kepercayaan dapat membuatkan manusia tu terus berdiri dan berjuang dalam hidup. Macam aku sendiri, aku rasa perkara utama yang membuatkan aku masih disini dan tak berputus asa adalah rasa percaya aku bahawa Allah tu wujud dan tak mungkin akan menzalimi hambanya dan juga rasa percaya pada qada dan qadar itu sendiri. Allah tak mungkin akan membiarkan mana-mana ciptaannya hidup dalam terumbang-ambing, subhanallah! Betapa hebatnya seorang muslim, ketika mana dia menerima anugerah dia bersyukur dan kala mana menerima musibah dia akan bersabar. Itulah qada dan qadar yang aku percaya.




Wednesday, September 20, 2017

My Ex-Housemate Done Married

Assalamualaikum.

Minggu lepas aku ngan kawan-kawan aku pi Pulau Lagenda Mahsuri; Langkawi untuk menghadiri majlis perkahwinan salah seorang kawan Mesir aku iaitu Ezzati. Pak pak ke bum bum, pak pak bum bum!! Tahniaaahhhh!! Hahaha.

Untuk pertamanya, aku nak ucapkan tahniah kat Acik (nama panggilan Ezzati di Mesir) sebab dah melangkah ke alam baru (baca: bukan alam ghaib -_-) Nampaknya Acik dah melepasi satu fasa dalam kehidupan dia huhuhuhu. Tetiba rasa sebak plak. Aku mungkin bukan insan yang betul untuk bagi nasihat sebab diri sendiri pun masih belum berkahwin cuma kat sini aku nak kata yang aku bangga dengan dia sebab aku tengok sendiri macam mana dia uruskan diri dengan pelajaran dan dalam masa yang sama dia nak kawal hati untuk bakal suami dan semua tu berlaku dalam senyap dan teratur. Dia antara orang yang boleh kata senyap-senyap ubi berisi hahaha. Aku dapat tau yang sebenarnya perkahwinan dia nih adalah rancangan dari mak dia untuk satukan dia dengan bakal suami. Alhamdulillah semuanya dah selesai dan Acik pun sekarang dah jadi isteri orang 😍😍.

Ini majlis kahwin kawan-kawan yang kedua aku hadiri. Menariknya majlis Acik sebab ia dijalankan dalam keadaan sederhana dan sebab tu nampak sangat cantik. Serius sederhana jaa tapi just nice. Acik pilih rona hijau pucuk pisang sebagai warna utama majlis dia. Untuk baju akad nikah, depa dua pilih baju putih sebagai tanda kesucian dan memulakan kehidupan baru. Akad nikah dijalankan di Masjid Kampung Bayas pada jam 2.45 petang dan diwalikan oleh ayah Acik sendiri iaitu Pak Cik Zaidi. Dengan dua kali lafaz, Acik sah menjadi isteri kepada Ustaz Rahman 😚😊😊. Time tu aku rasa macam nak nangis ja hahaha, over melebihi mak dia hahaha.

Acik gemuruh menunggu akad nikahnyaπŸ’πŸ˜πŸ˜˜

Sesudah akad. #rahmanXezzati

Kawan-kawan Mesir yang hadir sekali memeriahkan majlis #rahmanXezzati

Ustaz Rahman syok dah halal nampak hahaha #rahmanXezzati πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜

Majlis akad nikah #rahmanXezzati bersama kawan-kawan Mesir
Bumi Langkawi berhujan sepanjang Jumaat tu dan menyebabkan beberapa kawasan sekitar Langkawi banjir. Kami semua pakat risau takut majlis Acik tergendala akibat hujan yang mencurah-curah tu tapi alhamdulillah; doa Acik supaya majlisnya esok tu dipermudahkan telah dimakbulkan oleh Allah. Suasana cerah sepanjang Sabtu dan majlis tamat sekitar pukul 5 petang. Pukul 5 tu semua dah pakat angat meja kerusi dah, kemas-kemas semua. Majlis Acik nih depa semua pakat, kiranya tak amik katering pun.

 26|9|2017 Majlis resepsi belah perempuan. Acik cantik sangat!! πŸ˜˜πŸ˜˜πŸ’

 Hantaran pengantin 5 berbalas 7. #rahmanXezzati

Taaadaaa!!! πŸ˜±πŸ˜±πŸ™†Cantik gila warna hijau nih hahaah. 
Tahniah Acik. I'm happy for you.😘😘 #rahmanXezzati

Untuk Acik; perkahwinan adalah satu perjalanan yang sangat panjang sebab tulah ia disebut sebagai menyempurnakan setengah ibadah. Dalam melalui liku-liku perkahwinan nanti Acik mungkin akan terbeban dengan beratnya tanggungjawab dan yang lebih penting sekarang syurga Acik berada di tapak kaki suami. Taati suami menjadi kewajipan paling utama selama mana dia tidak bertentangan dengan agama. Utamakan suami dalam setiap hal in sha Allah perjalanan Acik akan diredhai sentiasa ameen.

Jadi kesimpulannya, aku memang gembira sangat-sangat sebab tahun nih ja dah berlaku empat ijab qabul kawan batch aku. First dengan kenduri Amzar dan Nisa, dan ini adalah pernikahan kawan aku yang kedua, Acik Ezzati dan Ustaz Rahman. Seterusnya Kak Maryam dan pasangannya yang akan diadakan hari Jumaat nih dan jugak Kak Husna dan pasangan. Moga dipermudahkan oleh Allah in sha Allah. Selain tu, aku jugak dapat tau yang kawan aku Cik Rose dah bertunang senyap-senyap hahaha. Syhhhhh.. Hahahaha. Nih kalau Cik Rose baca nih, habis aku kena marah hahaha. Tapi selamat blog nih tak dak orang baca.

Nih semua geng single but not available. 
Berminat pm haha. πŸ˜‚πŸ˜πŸ˜Kita bleh tolong masuk line. K bye.

Tuesday, August 1, 2017

Kenduri First In my Batch

Bulan lepas telah berlalu dengan baik sekali. Buat tahun ini aku rasa aku dah melalui cuti-cuti yang menarik dari awal Julai sehingga hari ke tiga puluh satu.

          Perkara pertama yang aku buat mestilah menghadiri kenduri Amzar dan Nisa di Balik Pulau, Pulau Pinang. Sebenarnya niat aku tahun ini, aku tak mahu pulang ke Malaysia dan ingin menghabiskan cutiku di Mesir tapi masa sebelum raya hari tu aku ada dm Nisa di Instagram  untuk mengucapkan tahniah dan dia agak bersungguh-sungguh menjemput aku dan kawan-kawan yang lain ke kenduri mereka.

          Aku pada mulanya agak keberatan nak pergi. Memang niat nak pergi tu ada tapi agak keberatan sebab perkenalan aku dan Nisa agak singkat dengan kata nama lain kami hanya berkenalan ketika awal tingkatan 6 di Maktab Mahmud Alor Setar. Nisa memang ramah orangnya. Walaupun hanya berkenalan gitu-gitu sahaja tapi kami semua mampu berborak banyak bila berjumpa di luar pagar rumah kerana dia yang sememangnya ramah hahaha.

          Aku dan kawan-kawan yang lain datang menaiki KTM kecuali Cik Aiman yang datang dengan ayahnya. Aku, Cik Farz, Cik Has dan Cik Mai datang sekali naik KTM dan seterusnya naik feri ke Balik Pulau, Satu pengalaman yang sangat menarik sebab ini adalah kali pertama aku berdikari sendiri naik KTM dan feri di jeti hehehe. Kemudian Cik Dayah akan mengambil kami berempat di kawasan jeti dan kami akan bermalam di rumah Cik Dayah selama 3 hari.

First time naik KTM. Teruja tak tau nak habaq hahaha.


          Kami berlima termasuk Cik Aiman sampai selepas Asar di rumah Cik Dayah dan petang itu kami dijamu dengan spagetti bolongnese dan kek coklat. Pada malam itu, kami berenam bergerak ke Padang Kota Lama memandangkan semuanya dah lama tak menjejak kaki di kawasan Balik Pulau. Esok pagi tu, kami bergerak awal untuk berkenduri di kenduri Nisa. Untuk memudahkan perjalanan kami buat keputusan untuk sewa kereta Alza untuk sehari semalam.

Muka tak sabar untuk kenduri. Eksited nak tengok Amzar dan Nisa atas pelamin haha.

Kenduri belah Nisa bersama kawan-kawan satu maahad dulu. 
Berpeluh eden dan yang lain semata nak bergambar saja pun hahaha. 
Apa-apa pun makanan memang best. 
Tahniah Nisa dan Amzar 8/7/2017.

Kenduri belah Amzar 9/7/2017.

Alhamdulillah dapat jumpa my beloved ustaz-ustaz.


           Aku rasa Nisa memang ditakdirkan untuk Amzar. Seperti yang aku ketahui mereka berkenalan sejak di sekolah rendah lagi dan memang dah diusik sebagai pasangan ketika di sekolah rendah, apabila menginjak ke sekolah menengah mereka sudah berhenti berhubung memandangkan masing-masing sibuk dan mereka mula berbual kembali ketika di tingkatan 5 dan 6. Okay nih cerita sebenarnya dari kawan-kawan aku yang aku dengar sendiri dari kawan sekolah rendah Nisa sekaligus kawan sekelas aku ketika di sekolah menengah iaitu Cik Dayah. Kalau salah cerita Cik Dayah nih, salah jugak lah cerita aku errr hahaha.

           Okay berbalik pada asal usul apa yang aku nak cerita memang Nisa ditakdirkan untuk Amzar. Aku dapat lihat bahawa mereka memang pasangan yang sangat sesuai dan melengkapi antara satu sama lain. Ini bukanlah pendapat aku seorang tapi memang kebanyakkan kawan-kawan yang lain juga berpendapat sebegitu rupa. Antara yang paling ketara, Amzar seorang yang sangat senyap manakala Nisa sangatlah ramah orangnya. Hahaha. Benda-benda lain yang melengkapi aku tak pasti la pulak.

          Apa-apa pun buat Amzar dan Nisa, selamat melayari bahtera perkahwinan. Moga mahligai cinta yang dibina bertunjangkan agama ini akan sentiasa dilimpahi rahmat, sakinah dan mawaddah. Sebagai pasangan suami isteri, perkara pertama yang paling perlu dijaga ialah kepercayaan terhadap pasangan dan saling memahami. In sha Allah doa sahabat-sahabat lain dan aku adalah sama iaitu agar perkahwinan kalian berdua kekal sehingga ke Syurga in sha Allah ameen. Sesungguhnya kami semua teramatlah gembira untuk hampa berdua lagi-lagi Amzar adalah orang pertama yang mendirikan rumah tangga dalam batch aku hahahaha.

Xoxo